Pelakon, Remy Ishak.

KUALA LUMPUR – Pelakon popular Remy Ishak mengesahkan bahawa beliau bakal bernikah dengan wanita pilihan hatinya esok.

Perkara berkenaan telah dikongsikan sendiri oleh Remy menerusi rancangan yang berlangsung malam tadi.

“Insya-Allah atas persetujuan kedua dua belah pihak, kami akan bernikah pada 21 Ogos 2021 ini di Kuala Lumpur.

“Jika mengikut perancangan kami sepatutnya bernikah pada Mei lalu bersempena dengan bulan Syawal, tetapi disebabkan PKP, ia terpaksa ditunda,” jelasnya.

Enggan berkongsi identiti gadis yang bakal menjadi permaisuri hidupnya, Remy atau nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak, menyifatkan wanita itu sangat istimewa.

Namun khabar angin menyatakan wanita bertuah itu adalah Ezza Yusof.

Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017 tetapi ikatan mereka putus dua tahun kemudian.

Bagaimanapun, ikatan kasih mereka dikatakan bercantum semula, tahun ini.

Remy, 39, berkata, setelah perbincangan dilakukan, dia dan bakal isterinya itu telah sepakat meneruskan hasrat untuk bernikah esok setelah mendapat restu daripada pihak kedua keluarga sekaligus tidak mahu menangguhkan lagi impian mulia ini.

Jelasnya, majlis pernikahan yang dijadualkan itu akan dilaksanakan mengikut protokol dan SOP kesihatan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Perancangan kami memang mahu adakan majlis secara terbuka, ada keluarga, tetamu. Tapi apabila pihak berwajib telah menetapkan syarat hanya beberapa orang sahaja boleh berada dalam majlis, kami akur biarpun ia dilaksanakan secara sederhana,” ujarnya. – MalaysiaGazette