KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap menganggap Kedah Darul Aman FC sebagai ancaman yang mampu mencabar kedudukan terkini Liga Super menjelang pertembungan mereka pada malam esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Meskipun Terengganu ketika ini konsisten di tangga kedua liga, Nafuzi merasakan pasukannya masih belum selamat dan bila-bila masa sahaja boleh di atasi sekiranya pemain mengambil mudah setiap perlawanan.
Apa yang pasti, beliau tidak menolak perlawanan pada malam esok akan sengit dan sukar dijangka apatah lagi Kedah dalam misi untuk mendaki semula kedudukan liga apabila perlu berdepan tiga lagi aksi tertunda.
“Saya tetap merasakan Terengganu adalah pasukan “underdog” walaupun kita sekarang di tangga kedua liga dan kita tidak boleh selesa dengan prestasi sekarang.
“Fokus saya adalah dekat pasukan sendiri, dan saya tidak mahu pemain-pemain terlalu fikirkan prestasi pasukan lawan seperti Kedah sehingga tidak dapat fokus terhadap pasukan sendiri.
“Macam saya cakap, kita kena pastikan pasukan tidak tercicir mata dan tidak boleh ambil kesempatan dengan Kedah sekarang yang masih lagi kekurangan perlawanan, sebab kalau kita tewas, kejap sahaja kedudukan boleh berubah.
“Jadi, saya mahu anak buah saya tetap fokus dan akhir sekali, biarlah keputusan sahaja yang berbicara, kalau menang, semestinya kita akan kekal di atas,” jelasnya.
Bercakap mengenai tahap kecergasan barisan pemain, Nafuzi berpuas hati dengan komitmen yang ditampilkan pemain setakat ini dan tiada rombakan besar yang dilakukan untuk aksi pada malam esok.
Begitu juga dengan pasukan Kedah yang dilihat akan lebih mantap dengan kembalinya tonggak utama, Renan Alves selepas digantung satu perlawanan sebelum ini susulan dikenakan kad merah.
“Kalau pasal pemain-pemain, semuanya berada dalam keadaan baik sepertimana yang mereka tampilkan ketika menentang Sri Pahang.
“Jadi, saya boleh katakan tiada rombakan besar yang dilakukan dan semuanya dalam keadaan cukup bersedia untuk menentang Kedah yang juga hadir dalam keadaan pasukan yang lebih mantap,” tambah Nafuzi.
Dua lagi perlawanan akan berlangsung pada malam esok membabitkan PJ City FC yang menerima kunjungan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak FC menentang Selangor FC.
Manakala pada hari Ahad pula menyaksikan Sabah FC akan melakukan perhitungan dengan Penang FC dan UiTM FC bertandang ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United FC. – MalaysiaGazette