Selain kelonggaran boleh dine-in, bilangan penumpang kenderaan tidak lagi dihadkan kepada dua individu sahaja kepada penduduk negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selain kelonggaran boleh dine-in, bilangan penumpang kenderaan tidak lagi dihadkan kepada dua individu sahaja kepada penduduk negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kenderaan dibenarkan dalam kapasiti penuh dengan syaratnya semua penumpang di dalam kenderaan itu sudah lengkap menerima vaksin.

Ia berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaru yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Bagaimanapun kepada mereka yang belum lengkap vaksin, prosedur operasi standard (SOP) lama masih terpakai iaitu hanya dua individu dalam kenderaan bagi tujuan mendapatkan barangan asas atau tiga orang bagi mengiringi pesakit dan hal kecemasan.

Seseorang itu dianggap sudah divaksin penuh dua minggu selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19, serta 28 hari menerima vaksin dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

Buat masa sekarang, kawasan yang masih dalam Fasa 1 PPN adalah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.

SOP terbaharu MKN itu juga menetapkan tiada lagi had perjalanan 10 kilometer asalkan dalam daerah yang sama.

Bagaimanapun, perjalanan rentas daerah masih dilarang.- MalaysiaGazette