Anggota polis mengawal setiap jalan berhampiran Dataran Merdeka berikutan bagi mengelakkan segelintir orang awam berhimpun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kesemua 88 laluan sekitar ibu kota yang dilencongkan berikutan berlakunya perhimpunan yang dirancang Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka di sini hari ini sudah dibuka semula.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh ketika dihubungi memaklumkan semua laluan berkenaan yang dilencongkan sejak jam 9 pagi tadi dibuka semula kepada pengguna jalan raya bermula 2.50 petang.

Selain laluan terbabit, perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) di beberapa laluan dan Monorel Kuala Lumpur yang ditutup sementara bermula pukul 9 pagi tadi juga beroperasi semula sejak pukul 3 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, situasi di sekitar ibu kota sejak jam 9 pagi hingga 3 petang tadi dalam keadaan terkawal tanpa insiden tidak diingini.

“Tiada insiden tidak diingini berlaku. Keadaan terkawal dan semua laluan yang dilencongkan tadi sudah dibuka semula kecuali sekatan (pagar besi) di sekitar Dataran Merdeka yang masih ditutup,” katanya secara ringkas ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan yang dirancang sekretariat yang terdiri aktivis muda itu mendapati ia tidak berlangsung seperti dijangka.

Sepanjang tempoh itu, tiada kelibat peserta perhimpunan dan hanya kelihatan anggota penguatkuasa termasuk pihak polis menjalankan tugas kawalan serta rondaan selain kehadiran lebih 20 pengamal media.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan satu perhimpunan bantahan oleh sekretariat berkenaan terhadap kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diadakan di ibu negara pukul 11.30 pagi ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani juga menerusi kenyataan minggu lepas memberi amaran kepada perancang tersebut supaya menghentikan niatnya itu.

Perhimpunan itu dikatakan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) bagi mendesak Muhyiddin dan Kabinetnya berundur kerana didakwa gagal menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun, sekretariat itu dalam kenyataan pada Khamis lalu memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan meneruskan perhimpunan berkenaan yang dirancang memandangkan Muhyiddin sudah meletak jawatan pada Isnin lalu.

Namun sebagai langkah berjaga-jaga, pihak polis melakukan sekatan dan lencongan pihak berkuasa di 88 lokasi sekitar ibu negara bermula jam 9 pagi tadi.

Antara laluan yang terlibat penutupan selama enam jam adalah, Jalan Kinabalu (Terowong Bukit Aman), Jalan Kinabalu Bulatan Dato Onn, Bulatan Dato Onn, Susur Jalan Kinabalu/ Bulatan Dato Onn, Jalan Tun Perak/ Leboh Ampang dan Jalan Leboh Pasar Besar/ Jalan Hang Kasturi.

Turut ditutup Jalan Tuanku Abdul Rahman (Sogo), Jalan Tun Sambathan/ Susur Jambatan Besi, Jalan Sultan Hishamudin/ Susur Naik Lebuhraya Sultan Iskandar, Bulatan Kampung Pandan/ Jalan Davis, Jalan Tuanku Abdul Rahman/ Sultan Ismail serta Masjid Negara/ Bulatan Sultan Hishamudin.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada Himpunan Lawan di Dataran Merdeka hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast