Pengasas Rumah Prihatin, Tan Sri Annuar Musa membaca doa pada program Misi Kemanusiaan Rumah Prihatin Mangsa Banjir di Parlimen Jerai dan Merbok di Hotel Grand Season. Foto HAFIZ SOHAIMI, 21 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak merupakan antara tetamu khas yang akan menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri hari ini.

Perkara tersebut didedahkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa kepada sekumpulan media di luar perkarangan Hotel Grand Seasons selepas acara flag off misi kemanusian Rumah Prihatin.

Katanya, perkara itu telah disampaikan oleh Ismail Sabri semalam ketika pertemuan di Hotel Royale Chulan secara tertutup dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi selepas pengumuman pelantikan Perdana Menteri kesembilan itu.

Pengasas Rumah Prihatin, Tan Sri Annuar Musa melakukan bercakap pada program Misi Kemanusiaan Rumah Prihatin Mangsa Banjir di Parlimen Jerai dan Merbok di Hotel Grand Season. Foto HAFIZ SOHAIMI, 21 OGOS 2021.

Jelas bekas Menteri Wilayah itu, Ismail Sabri memberitahu kepada segelintir wakil rakyat yang hadir semalam beliau berhasrat menjemput semua ke majlis angkat sumpah.

“Mesyuarat itu sebentar sahaja, dalam 45 minit begitu. Lebih kepada majlis angkat sumpah hari ini. Ianya untuk memberikan kita maklumat betul apa yang berlaku pada saat-saat akhir terutamanya tentang beliau menghadap YDPA.

“Banyak sangat khabar angin jadi memberikan maklumat jelas tentang apa yang terjadi sebenarnya. Tentang perkembangan muktahir.

“Datuk Seri juga ada maklumkan kepada kita beliau sebenarnya ingin jemput semua ketua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini termasuklah Datuk Seri Najib Razak.

“Jadi beliau maklumkan semua itu kepada kita. Selain itu, ada juga kita bertukar-tukar pandangan,” katanya.

Istiadat angkat tersebut akan diadakan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri dijangka ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Antara yang bakal turut serta pada istiadat itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Bagaimanapun, selepas istiadat selesai, Ismail Sabri dikatakan perlu berada  di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Mesyuarat yang dijangka berlangsung pada jam 8 malam ini masih belum diketahui secara rasmi mengenai agenda yang bakal dibincangkan namun sudah tentu melibatkan langkah seterusnya selepas parti tersebut kembali menguasai kerajaan.

Antara yang menjadi persoalan penting ialah nama kerajaan yang bakal dibentuk itu sama ada menggunakan Kerajaan BN, Kerajaan PN atau mungkin satu nama baharu. -MalaysiaGazette