Rakaman video tular dua lelaki memakai gelang membeli makanan di Masai, Johor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki memakai gelang merah jambu yang melanggar perintah kuarantin dengan membeli makanan di sebuah kedai makan di Taman Sierra Perdana, Masai, Johor telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan susulan tular video berdurasi satu minit 32 saat di media sosial semalam.

Kedua-dua individu itu berusia 23 dan 46 tahun merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan mereka sedang dikuarantin di sebuah hostel bermula 14 Ogos hingga 24 Ogos ini.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 malam pada 18 Ogos lai. Mereka yang sepatutnya menjalani kuarantin kendiri telah keluar membeli makanan di sebuah kedai makan berhampiran lokasi rakaman kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua lelaki itu selepas mereka habis menjalani kuarantin.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dikompaun RM5,000 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya mematuhi peraturan dan arahan yang dikeluarkan supaya penularan wabak Covid-19 dapat dibendung. – MalaysiaGazette