KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil di sini hari ini sekali lagi dibanjiri warga asing yang melakukan pendaftaran terus (walk in) dalam keadaan bersesak sehingga mencetuskan kebimbangan pelanggaran standard prosedur operasi (SOP) dan risiko penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kawasan PPV berkenaan dibanjiri oleh warga asing daripada sektor industri perkilangan dan pembinaan seawal jam 4 pagi lagi semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Mereka gagal mematuhi SOP dan sudah berulang kali diberi nasihat dan teguran keras, maka suatu tindakan drastik telah diambil polis dengan kadar segera dengan mengarahkan mereka beredar dan hadir semula pada jam 2 petang untuk mendapatkan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Idzam, Ketua Pengurus PPV Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) juga bersetuju dengan nasihat polis supaya membuat dua sesi walk-in bagi bukan warganegara iaitu pemberian vaksin pada sesi pagi dan juga petang bagi mengelak kesesakan.

Tambah beliau, polis juga akan menambah kekuatan anggota di PPV berkenaan untuk mengawal situasi kebanjiran pekerja asing untuk mengambil vaksin.

Menurutnya, langkah itu berikutan tarikh bukan warganegara mendapatkan vaksin akan berakhir esok.

“Tindakan ini diambil adalah bagi memastikan semua petugas dan masyarakat setempat serta bukan warganegara yang hadir untuk mengambil vaksin di PPV Stadium Nasional itu sentiasa selamat dan terlindung daripada penularan wabak Covid-19 selari dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat saban hari yang merekodkan lebih 20,000 kes sejak akhir-akhir ini.

“Disamping itu, orang awam juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan posting video tular ini kerana bimbang akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan kerajaan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sepatutnya warga asing ni yg bagi vaksin, kedutaan negara mereka masing2.. Bukan tugas kita bagi mereka vaksin.. Pandai dtg, pandai lah bagi pada warga mereka vaksin..

Comments are closed.