Bomba dan Penyelamat berpakaian PPE mengangkat mayat warga emas yang ditemukan dalam sungai Sabak Bernam selepas hilang empat hari lalu dibawa arus deras.- Gambar ihsan Bomba dan Penyelamat Selangor

KUALA LUMPUR – Kehilangan seorang lelaki warga emas yang mandi di Sungai Sabak Bernam dekat sini sebelum dibawa arus deras sejak empat hari lalu akhirnya terjawab hari ini.

Mangsa akhirnya berjaya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan mayatnya terapung di tepi sungai yang sama petang tadi.

Mangsa, Ong Tiong Seng, 75, ditemukan oleh pasukan bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam keadaan terapung berdekatan jambatan Sungai Bernam pada pukul 2.57 petang.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis menerusi kenyataan hari ini berkata, operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai polis dan nelayan itu telah dijalankan bermula pukul 7 pagi tadi.

“Operasi pencarian melibatkan kawasan pesisiran Sungai Bernam yang berada kira-kira 15 kilometer dari Jeti Pengkalan Sabak Bernam.

“Sebuah bot penyelamat kemudian berjaya menemukan mayat mangsa yang terapung di sekitar kawasan jambatan Sungai Bernam,” katanya.

Tambah Norazam, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari sungai oleh pasukan berpakaian lengkap PPE dengan bot dan seterusnya dibawa ke jeti dengan menggunakan bot penyelamat.

“Mayat mangsa kemudian telah diserahkan kepada polis untuk tindakan siasatan selanjutnya dan proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Operasi pencarian mangsa berkenaan juga akhirnya ditamatkan sepenuhnya oleh pasukan penyelamat pada pukul 5.15 petang tadi,” ujar beliau.

Sebelum itu,  kehilangan mangsa turut tular di laman sosial menerusi video berdurasi 22 saat yang memaparkan mangsa dibawa arus sungai tersebut.

Berdasarkan siasatan polis, mangsa dikatakan meninggalkan selipar dan terus terjun ke dalam sungai tersebut.

Seramai 25 anggota termasuk pegawai serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Kesemua mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Shah Alam dan Klang selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Sabak Bernam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast