Hasni Mohammad
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor bersetuju memberi peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 kepada kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukan tambahan itu akan membolehkan bantuan disalurkan segera kepada rakyat negeri tersebut yang terjejas akibat Covid-19.
Katanya, selain itu sebanyak RM100,000 akan disalurkan kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya berharap peruntukan tambahan ini disalurkan kepada rakyat terjejas untuk kebajikan dan kemashalatan mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (Amanah – Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang Persidangan DUN Johor yang ke-14, hari ini.
Aminolhuda meminta penjelasan mengenai bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada penduduk Johor yang terjejas akibat Covid-19.
Pada 29 Julai lalu, Hasni yang juga ADUN Benut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua 56 ADUN Johor dan JPKD Dewan Undangan Negeri negeri itu.
Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada penduduk negeri tersebut yang terjejas disebabkan Covid-19 membabitkan peruntukan kerajaan negeri termasuk Pejabat Menteri Besar.
“Agensi negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya e-Kasih, turut menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat terjejas termasuk kewangan, bekalan makanan dan banyak lagi.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga termasuk Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah turut aktif menyalurkan bantuan kepada rakyat terjejas Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette