Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Norasmaliza Ku Lah.

KUANTAN – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Balok Makmur, Kuantan dijangka dapat disingkatkan berikutan penubuhan Pasukan Komuniti Prihatin (PKP) bagi membantu penguatkuasaan dan pemantauan perintah tersebut.

Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Norasmaliza Ku Lah berkata, berdasarkan komitmen serta prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan itu dapat membantu dalam membendung penularan Covid-19 di kawasan PKPD.

Tambahnya, sudah sampai masa pihak komuniti setempat diberi kepercayaan oleh penduduk untuk menjaga sesama sendiri bagi memutuskan rantaian virus tersebut.

Pasukan Komuniti Prihatin (PKP) bergabung bersama PDRM< RELA, MBK bagi memantau PKPD di Taman Balok Makmur

“PKPD di Taman Balok Makmur diputuskan oleh mesyuarat taskforce negeri untuk mengawal di lokaliti Mukim Sungai Karang dengan peningkat kes.

“Kita aktifkan Pasukan Komuniti Prihati hasil gabungan JKKK dan pihak setempat, dan contohnya di Sungag Isap sebelum serahkan tanggungjawab kepada komuniti Berjaya dikawal.

“Dengan bantuan PKP, diharapkan dapat kurangkan kes jangkitan dan jangkaan PKPD ditamatkan lebih awal, semuanya bergantung analisa PKPD,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette sambil menambah Taman Balok Makmor dan Kampung Seberang Sungai Ular dikenakan PKPD pada 22 Ogos hingga 4 September ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin.

Tengku Norasmaliza berkata, sebanyak empat kes positif dikesan di kawasan itu pada hari ini.

Difahamkan, sehingga kini sebanyak 84 kes aktif dikenalpasti di lokaliti Taman Balok Makmur.

Sementara itu, Rizal berkata, pergerakan dikawal anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarela Malaysia (RELA) dan beberapa agensi lain sepanjang 24 jam bagi menurunkan kes Covid-19 di pintu masuk utama.

“Pergerakan ekonomi dalaman dibenarkan, dan pergerakan masih dibolehkan seperti keluar untuk mengambil vaksin atau berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan” katanya. – MalaysiaGazette