Gambar hiasan

LUMUT – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak melarikan diri selepas kereta dipandunya merempuh enam motosikal di Kilometer (KM) 4, Jalan Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini, semalam, sehingga menyebabkan tiga lelaki maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 petang itu, lelaki berumur 38 tahun berkenaan, yang menaiki kereta jenis Proton Preve, turut meninggalkan dua rakannya yang cedera, seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya berusia 24 tahun, di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kedua-duanya telah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, bagaimanapun lelaki itu ditahan reman sehingga Selasa kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala wanita yang juga guru tadika itu dilepaskan.

Akibat pelanggaran itu juga, tiga orang, iaitu dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi penunggang motosikal cedera parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiga lelaki yang maut ialah penunggang motosikal Mohd Suhail Zainal, 22, bersama pembonceng, Hasrandy Bahrum, 27, kedua-duanya berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, manakala seorang lagi penunggang motosikal Mohd Nur Hisham Hassan, 29, berasal dari Kuantan, Pahang.

Empat lagi penunggang motosikal, kesemuanya lelaki, turut mengalami cedera parah dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu dari arah Lekir menghala ke Kampung Acheh, manakala enam mangsa tersebut yang kesemuanya adalah pekerja kilang di sebuah syarikat minyak dan gas di Kampung Acheh, dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu kereta berkenaan telah terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar keenam-enam motosikal yang berada di laluan itu,” katanya dan menambah kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek dan kejadian itu, diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Lily Suryana Roslali di talian 013-6559693 bagi membantu siasatan. – Bernama