Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Sebanyak 93 program telah disusun untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kemerdekaan 2021.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, program berkenaan disediakan Kementerian Peraduan Negara dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Dan Multimedia yang merupakan Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021).

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini masih mengekalkan tema yang sama seperti tahun lepas iaitu
Malaysia Prihatin.

“Ini adalah seiring dengan iltizam dan hasrat kerajaan untuk menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat, khususnya ketika kita masih memerangi pandemik Covid-19 semenjak lebih setahun yang lalu.

“Sambutan ini merupakan satu medium untuk rakyat menzahirkan taat setia kepada negara dan semangat
patriotisme tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Ia juga menjadi pembakar semangat kepada generasi muda
untuk terus berjuang memelihara kemerdekaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021 secara maya hari ini.

Mohd Zuki berkata, sambutan hari kebangsaan yang ke-64 pada tahun ini akan disambut secara sederhana disebabkan negara masih berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ujarnya, sambutan pada kali ini pastinya secara norma baharu berdasarkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telahpun ditetapkan.

Dalam pada itu katanya lagi, program-program yang dirancang adalah bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan memperkasa peranan serta penglibatan komuniti agar sama-sama menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira usia, agama, kaum, budaya, dan adat resam.

Selain itu jelas beliau, komuniti perpaduan termasuk kawasan rukun tetangga, guru-guru dan jawatankuasa penyelaras tabika perpaduan, sekretariat rukun negara dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perpaduan yang juga dikenali sebagai Friends Of Unity turut digemblengkan untuk sama-sama menyemarakkan program berkenaan. – MalaysiaGazette