Sultan Johor,Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU – Kakitangan awam termasuk guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga serta masyarakat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, pengambilan vaksin penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

“Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titahnya lagi.

Semalam, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail juga dilaporkan mahu berjumpa sendiri dengan kesemua guru di negeri itu yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. “Jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook hari ini.
    Mezalimi diri sendiri dan seterusnya menzalimi orang Lain….BERDOSA

Comments are closed.