Mazlan Bujang
ISKANDAR PUTERI –  Sebanyak 8,000 peranti termasuk komputer dan internet jalur lebar mudah alih akan mula diagihkan kepada pelajar yang memerlukan di negeri ini mulai bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, inisiatif kerajaan negeri itu akan membabitkan peruntukan berjumlah RM25 juta.

Katanya, kerajaan Johor memilih menyalurkannya kepada pelajar daripada keluarga B40 dan ibu tunggal berikutan ia lebih praktikal digunakan selain mempunyai memori lebih besar bagi menampung sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Bekalan peranti akan mula diedarkan pada  awal bulan September ini  dan dijangka selesai sepenuhnya November. 2021.

“Di samping itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor juga sedia
maklum berkaitan sumbangan (komputer riba, tablet dan data internet) pelbagai pihak yang melibatkan Yayasan Raja Zarith Sofiah, Ahli Parlimen, ADUN, NGO, Yayasan PBT, Syarikat-syarikat dan individu bagi meringankan beban ibu bapa atau penjaga bagi melaksanakan PdPR.

“Pada masa ini, pihak kerajaan mendapat kerjasama secara terus dengan pengeluar peranti tanpa melalui pihak ketiga bagi meminimumkan gangguan tersebut,” katanya ketika sesi soalan lisan Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di sini hari ini.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, cabaran mendapatkan bekalan peranti yang disebabkan oleh kekurangan bekalan global shortage dan gangguan pada rantaian bekalan telah menyebabkan jadual bekalan peranti, lewat diagihkan kepada sekolah dan pelajar.

Katanya, inisiatif itu termasuk membekalkan 8,000 Internet jalur lebar mudah alih khas untuk kegunaan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022 yang juga diserahkan kepada pihak sekolah.

Selain itu,pihaknya juga akan mencadangkan inisiatif berkenaan diperluaskan lagi di negeri ini bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar memerlukan.

“Insya-Allah kami akan cadangkan untuk dimasukkan di dalam belanjawan 2022, sekurang-kurangnya jika tidak dapat menambah kuantiti peranti, kita dapatlah sambung bayaran sewa talian wifi kepada pelajar-pelajar yang terpilih.

“Namun kerajaan Johor mendapat kerjasama secara terus dengan pengeluar peranti tanpa melalui pihak ketiga bagi meminimumkan gangguan berkenaan,” katanya.

Setakat ini, beliau memberitahu, pihaknya telah pun selesai membuat senarai pendek untuk agihan 8,000 peranti berkenaan dengan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kluang sebagai penerima tertinggi inisiatif berkenaan.

Ia membabitkan sebanyak 47 sekolah di Johor Bahru membabitkan 1,316 pelajar, Pasir Gudang 38 sekolah (1,064 pelajar) dan Kluang 29 sekolah (812 pelajar).

Beliau berkata demikian bagi ketika menjawab soalan ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan (AMANAH) yang juga Ketua Pembangkang Johor berhubung status inisiatif pemberian 8,000 peranti kepada pelajar memerlukan bagi pelaksanaan PdPR di Johor.- MalaysiaGazette