Menteri Besar Johor, Datuk Hasni beramah-mesra dengan salah seorang penerima vaksin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad di Johor Bahru baru-baru ini.- Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Johor akan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega bagi memastikan proses vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini dapat dipercepatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, sehingga kini, Johor mempunyai 241 PPV pelbagai jenis berbanding 14 PICK pada fasa pertama.

“Sebaik sahaja permulaan Fasa Dua PICK, pembukaan PPV mega mula beroperasi namun dengan bilangan penduduk yang tinggi bagi menampung kapasiti penerima yang ramai, berlaku kelewatan pemberian vaksin penerima.

“Ia ditambah lagi dengan mingguan tidak sekata, menyebabkan terdapat PPV awam yang lebih rendah kapasiti ditutup sementara, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PPV Mega yang lebih licin dan berterusan.

“Namun masalah ini dapat diatasi dengan pembukaan sebanyak 241 PPV termasuk 15 PPV Mega dan Integrasi, 10 PPV Industri selain 23 PPV awam, 10 PPV bergerak, tujuh PPV khas hospital kerajaan, 156 PPV klinik swasta dan 20 PPV hospital swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bekok,  Dr. S. Ramakrishnan (DAP) berhubung pelaksanaan vaksinasi yang perlahan di Johor pada sesi soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini hari ini.

Vidyananthan yang juga ADUN Kahang berkata, dengan pengagihan vaksin yang lebih banyak serta jadual lebih tepat kini tiada lagi keperluan PPV ditutup di negeri ini dan diharap situasi itu akan berkekalan sehingga program PICK selesai.

Nenurut beliau, penutupan sementara beberapa PPV di Johor sebelum ini juga tidak menjejaskan temujanji vaksinasi penduduk di PPV terlibat.

“Petugas kesihatan di Johor turut mengambil peluang mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini dengan menyediakan perkhidmatan bergerak program outreach di kawasan pedalaman dan kampung yang jauh dari PPV.

“Ia bagi membolehkan supaya penduduk di situ terutama yang terlantar, dapat turut sama menikmati perkhidmatan PICK di luar bandar,” katanya.

Vidyananthan berkata, program PPV outreach dilaksanakan oleh pasukan PPV termasuk kepada warga emas terlantar selain penduduk di pulau-pulau sekitar negeri ini,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast