Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keluar dari bangunan Perdana Putra Putrajaya bagi meninjau kawasan bencana banjir di Kedah. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Kira-kira sejam selepas memasuki Perdana Putra di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan pejabatnya untuk ke Kedah bagi meninjau kawasan bencana.

Beliau yang keluar jam 9.20 pagi dilihat terus ke jalan utama untuk ke lapangan terbang.

“Saya nak ke Kedah,” katanya ketika membuka tingkap keretanya ketika menemui media di pintu protokol Perdana Putra, pagi ini.

Ismail Sabri dijadual akan mengadakan lawatan ke Merbok dan Kuala Muda bagi meninjau keadaan kawasan terjejas banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lalu.

Menurut, atur cara dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat, kerajaan negeri Kedah Darul Aman, Ismail Sabri dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor menaiki pesawat khas pada jam 10 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim 45 minit kemudian.

Ismail kemudian akan ke Merbok di daerah Kuala Muda bagi melawat kawasan terjejas banjir di kawasan berkenaan, iaitu Jambatan Tupah dan Taman Lembah Merbok sebelum meninjau keadaan Loji Rawatan Air Tupah yang turut terkesan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ismail Sabri lapor tugas Perdana Menteri secara rasmi