Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua anak muda tempatan bergabung idea dan tenaga menyediakan platform pemadanan kerja yang menumpukan penganggur daripada golongan B40 untuk dipadankan dengan kekosongan jawatan yang ditawarkan majikan.

Menurut Pengasas bersama Kitakerja.my Choong En Han, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kadar pengangguran di Malaysia semakin meningkat.

    Choong En Han

Justeru, beliau bersama seorang lagi pengasas Kitakerja.my, Mohd. Nizam Abdul Rahim menubuhkan platform berkenaan sebagai inisiatif sosial untuk membantu rakyat Malaysia terutamanya daripada kelompok B40 yang kehilangan pekerjaan.

“Pekerjaan semakin sukar sekarang disebabkan perintah kawalan pergerakan yang telah kita alami sejak Mac 2020.

“Bersama dengan majikan dan pencari kerja, kita boleh saling membantu dan dalam masa sama memulihkan ekonomi negara, dengan penawaran satu demi satu pekerjaan,’’ kata En Han dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohd. Nizam Abdul  Rahim

Dalam pada itu, Mohd. Nizam berkata, selain memadankan pekerjaan, Kitakerja.my juga merancang untuk meningkatkan kemahiran pencari kerja menerusi program latihan dan pembangunan seperti kemahiran vokasional supaya mereka lebih berpotensi untuk dipilih majikan.

Bagaimanapun katanya, sumber yang terhad menyebabkan Kitakerja.my terpaksa meminta bantuan rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran untuk membantu  membina, mempromosi dan membangunkan inisiatif itu.

Katanya, pada masa ini, Kitakerja.my memadankan pencari kerja dan majikan secara manual dan sedang mencari rumusan untuk mengautomasikan proses tersebut.

“Kami mempelawa pakar teknologi, jurulatih dan rakyat Malaysia secara umumnya, untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini.

“Jika anda mempunyai kemahiran dan idea untuk menjadi Kitakerja.my platform yang lebih baik bagi membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, silakan hubungi kami,” katanya.

Sumbangan anda boleh memadai dengan hanya berkongsi laman web kami Kitakerja.my atau mengutus mesej menerusi WhatsApp bagi memastikan lebih ramai orang tahu mengenainya.’’ ujarnya.- MalaysiaGazette