Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Labuan diisytiharkan wilayah pertama yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuatkuasa Khamis ini, setelah pulai itu mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemindahan fasa itu disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian yang menurun di Labuan kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

“Malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0%) berbanding 30% pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian penduduk di Wilayah Persekutuan itu kini dapat menikmati tiga kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).

Antaranya semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuatkuasa, ujar beliau.

“Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus dan majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal,” jelas Ismail Sabri lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 2 PPN berkuatkuasa Khamis ini.

Ismail Sabri berkata, bagi Negeri Sembilan, keadaan Covid-19 juga bertambah baik telah menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

“Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3% daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima 2 dos.

“Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya.

Disebabkan itu, penduduk Negeri Sembilan kini boleh melakukan aktiviti rentas daerah kepada mereka yang lengkap 2 dos vaksin.

Malah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya telah lengkap dua dos vaksin dan ibubapa atau penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada penerima lengkap dua dos vaksin sahaja.

“Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

“Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima 2 duados vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

“Hanya pelanggan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk dine-in di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula WAJIB memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi,” kata Ismail Sabri.

Aktiviti pelancongan dibenarkan dalam negeri yang sama dengan syarat indivudi berkenaan wajib menerima 2 dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay, jelasnya. – MalaysiaGazette