Datuk Seri Lajim Ukin

KOTA KINABALU – Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia Datuk Seri Lajim Ukin mula ditidurkan pada jam 2 petang tadi di Hospital Pakar KPJ di sini untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19, demikian menurut pegawai khasnya Ismail Norazman.

Beliau berkata mesej tular kononnya Lajim, yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort, telah tiada adalah palsu dan memohon semua pihak supaya tidak menyebarkan berita palsu tersebut.

“Saya berharap mesej yang tular tersebut dihentikan dan sebaran berita tidak sahih tidak dikongsi.  Bersama kita mendoakan kesembuhan Datuk Seri Panglima (Lajim) melawan COVID-19 yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pakar KPJ (di sini),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun meminta semua pihak supaya mendoakan kesihatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.

“Beliau kini di hospital mendapatkan rawatan kerana dijangkiti COVID-19,” katanya yang juga jurucakap COVID-19 Sabah ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut.

— BERNAMA