Song Ui-yong. Foto MediaCorp.

KUALA LUMPUR – Pemain kelahiran Korea Selatan, Song Ui-yong berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan Singapura apabila telah mendapat status kewarganegaraan yang sah pada 20 Ogos lalu

Song yang merupakan pemain tengah Lion City Sailors itu telah mengangkat sumpah taat setia sebagai warganegara Singapura di Pejabat Imigresen setelah 10 tahun menetap di negara itu.

“Sebelum saya masuk ke bilik, pegawai itu berkata, mulai sekarang kamu adalah rakyat Singapura. Mendengar kata-katanya, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan ini betul-betul menyentuh emosi saya,” katanya dalam laman web rasmi Lion City Sailors.
Pemain yang berusia 27 tahun itu pernah beraksi dengan kelab K-League, Suwon City sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Singapura pada 2012 apabila mendapat tawaran untuk menyertai Home United.

Pada awalnya, Song mengalami kesukaran untuk membiasakan diri dengan persekitaran negara itu dan dia juga mengambil masa selama beberapa tahun menguasai bahasa inggeris melalui pengaulan bersama rakan sepasukan.

Singapura kini merupakan rumahnya dan keputusan untuk menukarkan passport Korea Selatan adalah demi karier bola sepaknya.

Dia kini menunggu panggilan ke skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan di peringkat antarabangsa.

Mempunyai rekod 20 gol dalam 27 perlawanan pada musim 2018 dan 11 gol dalam 25 perlawanan pada musim 2019, bakal menjadikan pemain itu antara aset penting dalam skuad kebangsaan Singapura.

Malah, musim ini Song juga cemerlang bersama Lion City Sailors apabila menjaringkan sembilan gol dalam 11 perlawanan dan berpotensi untuk dipanggil menyertai kem latihan Singapura sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Singapura ketika ini diperkuatkan oleh seorang pemain naturalisasi iaitu Daniel Bennet.

Ketika zaman kegemilangan bola sepak negara jiran itu, Singapura mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang hebat seperti Alexsandar Duric, Agu Casmir, Qiu Li dan Shi Jiayi yang berjaya membantu pasukan tersebut menjuarai Piala Suzuki AFF sebanyak tiga kali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast