Polis sedang memburu enam pemuda yang disyaki terlibat dalam memukul dua pemuda dalam kejadian di Rumah pangsa DBKL, Setapak Jaya baru-baru ini yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis memburu enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di tempat letak kereta rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Setapak Jaya, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah mengesan video yang tular di laman media sosial berkaitan kejadian tersebut.

Katanya semakan ke atas video berdurasi seminit 22 saat itu mendapati kejadian berlaku pada kira-kira jam 7 pagi 22 Ogos lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek yang terdiri daripada enam lelaki dipercayai bersenjatakan ibu kunci (padlock), topi keledar dan pisau sedang memukul mangsa iaitu dua lelaki di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, insiden pergaduhan itu telah dirakam oleh salah seorang penduduk di kawasan berkenaan sebelum ditularkan di laman media sosial.

Menurut Ashari, pihaknya menerima laporan daripada dua pemuda yang menjadi mangsa insiden tersebut pada jam 12.19 tengahari.

“Pihak polis kini telah mempergiatkan usaha dan sedang memburu kesemua suspek yang masih bebas dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Emilia Jamil di talian 016-2479017 atau pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan S. Gopal di talian 012-5120242.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette