Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam menunjukkan mesin Bitcoin yang dirampas pihaknya dalam dua serbuan di sekitar Kulim, Kedah semalam.

KULIM – Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital bitcoin di dua premis di daerah itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kegiatan yang menyebabkan kerugian RM840,000 dalam tempoh tujuh bulan kepada pihak TNB itu berjaya dihidu hasil risikan serta maklumat orang awam.

Jelas beliau, serbuan pukul 2 petang di dua premis itu turut membawa kepada rampasan 393 mesin melombong bitcoin.

“Siasatan mendapti terdapat penyambungan haram dilakukan sindiket untuk mencuri elektrik.

Sazalee (kiri) bersama pihak TNB menunjukkan penyambungan haram elektrik bagi kegiatan melombong Bitcoin yang berjaya ditumpaskan mereka semalam.

“Penyambungan haram ini menunjukkan satu kesalahan dilakukan sindiket pada pemasangan kabel milik TNB di premis terbabit.

“Semakan lanjut mendapati akaun TNB di premis berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak TNB mengambil tindakan memutuskan bekalan elektrik termasuk penyambungan haram di premis berkenaan.

“Kita sedang mengesan individu atau pemilik premis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 akta yang sama,” ujar Sazalee.- MalaysiaGazette