Noorzainy Mohd Noor.

BUTTERWORTH – Seorang pekerja swasta di Mak Mandin di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM70,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Wanita berusia 49 tahun itu mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas menerima satu panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai wakil Telekom Malaysia dan pegawai polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menerima panggilan pertama daripada individu yang mendakwa wakil Telekom Malaysia sebelum memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Negeri Sembilan sebelum memaklumkan mangsa turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

“Panik dengan tuduhan itu, mangsa mengikut arahan suspek menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) bagi siasatan lanjut.

“Sejurus menyerahkan nombor terbabit, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan dipercayai melalui transaksi yang dilakukan suspek.

“Dia hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang sebanyak RM70,000 telah lesap sebelum tampil membuat laporan polis semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu

Sehubungan itu, Noorzainy menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon yang meminta maklumat perbankan. – MalaysiaGazette