Zainal Abidin Ahmad

 

KUALA LUMPUR – Perodua telah memulakan operasi pusat jualan dan selepas jualannya, termasuk perniagaan Badan Kenderaan dan Cat (B&P) di seluruh negara.

Secara keseluruhan, Perodua mempunyai 191 pusat jualan, 197 pusat servis dan 69 B&P di seluruh negara.

Susulan pembukaan itu, penghantaran kenderaan telah bermula secara berperingkat sejak minggu ini dan Perodua menjangkakan lebih banyak kereta Perodua dihasilkan dan didaftarkan dalam beberapa minggu akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berterima kasih kepada para pelanggan kami atas kesabaran, kefahaman dan kesetiaan dalam menerima kenderaan Perodua mereka.

”Kami berharap dapat menghantar sebanyak mungkin pesanan yang ada dalam tahun ini. Kami kini sedang menilai kesan penutupan yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 terhadap operasi kami dan kami akan mengumumkan sasaran semakan kami untuk tahun ini tidak lama lagi,” katanya.

Walaupun Perodua telah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk vaksinasi pekerja-pekerjanya, syarikat kereta kompak itu telah menggariskan panduan keselamatan buat para pelanggan ketika mengunjungi pusat jualan dan selepas jualannya. pusat selepas jualan merangkumi pusat servis serta kemudahan badan kenderaan dan cat.

Keperluan-keperluan keselamatan ini termasuklah telah mendapat vaksin sepenuhnya, memakai topeng, membuat janji temu sebelum mengunjungi cawangan
jualan dan/atau servis dan sentiasa menjaga penjarakan fizikal.

Secara keseluruhan, Perodua mempunyai kira-kira 11,000 tenaga kerja di bawah syarikat tersebut.

Sekiranya digabungkan dengan para pembekal, pengedar dan kontraktornya – ekosistem Perodua mempunyai lebih 70,000 tenaga kerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast