KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menyederhana sebanyak 2.2 peratus pada bulan Julai 2021 kepada 122.5 berbanding 119.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan sederhana ini antaranya disebabkan oleh diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk tempoh tiga bulan efektif 1 Julai 2021.

 

Walau bagaimanapun, IHP masih kekal positif memandangkan terdapat kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada Julai 2021 berbanding setahun yang lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP menunjukkan peningkatan 2.2 peratus pada bulan Julai 2021 kepada 122.5 berbanding 119.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP kekal positif untuk bulan keenam berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada tahun lalu.

Peningkatan ini telah didorong terutamanya oleh kenaikan dua-digit dalam kumpulan pengangkutan iaitu 11.6 peratus berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter sejak Mac lalu berbanding harga purata RM1.69 pada Julai 2020.

Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.7%); makanan & minuman bukan alkohol (1.3%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (0.7%).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan bulanan, IHP menurun 0.6 peratus berbanding Jun 2021.

Penurunan ini telah disumbangkan oleh kadar negatif bagi perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-2.5%) dan minuman alkohol & tembakau (-0.1%).

Indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.7%); makanan & minuman bukan alkohol (1.1%); pengangkutan (1.0%); restoran & hotel (0.7%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (0.6%); perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.6%); kesihatan (0.4%); pendidikan (0.1%) dan pelbagai barangan & perkhidmatan (0.1%).

Indeks teras meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.

IHP tanpa bahan api meningkat 0.8 peratus pada Julai 2021 kepada 113.2 berbanding 112.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Lima negeri iaitu Terengganu (2.8%), Pahang (2.5%), Selangor & Putrajaya (2.4%), Kelantan (2.4%) dan Sarawak (2.3%) menunjukkan
peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.2 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Putrajaya (2.0%).

Sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 1.3 peratus pada Julai 2021 berbanding Julai 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast