Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohd Redzuan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

TELUK KUMBAR – “Terpulang pada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk melantik sesiapa namun biarlah barisan Kabinet yang boleh beliau bekerjasama.”

Itu kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan lantikan Timbalan Perdana Menteri dalam pembentukan Kabinet baharu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka berkata, jemaah menteri tidak akan berfungsi sekiranya mereka yang dilantik itu tidak boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri.

Mohd Redzuan.

“Tak guna kalau beliau (Ismail Sabri) ambil orang yang hebat tetapi tidak boleh bekerjasama ini akan menyebabkan Kabinet itu tidak berfungsi dengan sebaiknya.

“Apa pun terpulang pada Perdana Menteri sendiri untuk lantik siapa termasuk isu lantikan Timbalan Perdana Menteri bagi barisan Kabinet baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Redzuan menyampaikan sumbangan peribadi kepada 100 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Teluk Kumbar, Pulau Betong dan Sungai Burong di Balik Pulau hari ini.

Setiap ketua keluarga menerima sumbangan wang tunai, tilam seta bantal.

Pasangan suami isteri Ahmad Abu Bakar dan Aisyah Saat mengaminkan doa sebagai tanda syukur ketika Mohd Redzuan menyampaikan sumbangan di Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Diminta mengulas sama ada beliau antara terpilih dalam barisan Kabinet baharu Mohd Redzuan mengharapkan dirinya dipilih memandangkan banyak perkara membabitkan Wawasan Pembangunan Bersama masih belum selesai.

“Saya tidak tahu sama ada dipilih atau tidak dan ia terpulang pada beliau (Ismail Sabri) kerana itu merupakan tanggungjawabnya untuk membentuk Kabinet.

“Apa yang penting ketika ini sasaran ekonomi dan menangani Covid-19 dalam negara perlu dicapai walaupun kerajaan berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik ini,” ujarnya.

Pada pemerintahan sebelum itu, Mohd Redzuan atau mesra dengan panggilan Pak Wan menjadi Menteri Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan senarai nama barisan Kabinet baharu dijangka diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri berkata, beliau sedang mempertimbangkan senarai nama Ahli Parlimen yang dicadang semua parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette