Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) bertanya khabar anak-anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu bapa akibat Covid-19 pada Majlis Penyerahan Cek Faedah Perkeso di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OGOS 2021.

RAWANG – Nasib lapan beradik yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas kedua ibu bapa meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 terbela apabila mereka menerima beberapa faedah di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Episod duka keluarga itu mendapat perhatian Skuad Perkeso Prihatin yang mengambil langkah proaktif dengan menyemak rekod caruman pasangan ibu dan bapa kepada lapan beradik tersebut setelah kisah mereka disiarkan media.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, pasangan terbabit merupakan pencarum Perkeso dan memenuhi syarat kelayakan faedah yang ditetapkan.

“Lapan beradik ini layak menerima faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan bagi arwah bapa mereka berjumlah RM613 dan Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi ibunya sebanyak RM1,800.

“Kedua-dua faedah tersebut telah dan akan berterusan dibayar kepada waris sehinggalah adik bongsu mereka yang ketika ini berusia empat tahun mencecah usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“Selain itu, mereka juga menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM4,000,” katanya.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) berbual  dengan anak-anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu bapa akibat Covid-19 pada Majlis Penyerahan Cek Faedah Perkeso di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OGOS 2021.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman lapan beradik yatim piatu itu di Bukit Beruntung semalam.

Dalam kunjungan itu, Mohammed Azman turut menyerahkan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara yang layak diterima oleh waris sepanjang tempoh ibu mereka menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selain menyampaikan sumbangan Kotak Prihatin berupa barangan keperluan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komunikasi, Izad Raya, Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Zainol Abu, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Perkeso Rawang, Khairul Mizan Md Said.

Mengulas lanjut Mohammed Azman berkata, sebanyak 2,858 kes berjaya dikesan menerusi Skuad Prihatin Perkeso seterusnya diuruskan bayaran faedahnya sepanjang tahun ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed bercakap pada Majlis Penyerahan Cek Faedah Perkeso di JBukit Beruntung, Rawang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OGOS 2021.

“Sejak skuad ini ditubuhkan pada tahun 2016, kita tidak lagi menunggu waris untuk datang ke mana-mana cawangan Perkeso sebaliknya skuad ini yang akan menjalankan tugas mereka untuk mencari keluarga atau individu yang ditimpa musibah berdasarkan maklumat yang mereka terima melalui pelbagai sumber termasuk media massa.

“Setelah mendapat maklumat, kita akan menyemak rekod dan sekiranya mereka layak, bayaran faedah akan terus diproses dan bantuan akan diberikan secepat yang mungkin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mohammed Azman berkata, berdasarkan rekod sebanyak 11,713 kes melibatkan Orang Berinsurans Perkeso telah diterima berkaitan Covid-19 yang membabitkan jumlah bayaran kira-kira RM11.11 juta.

Nazurah Nabilah Benyajeed

Sementara itu, menurut kakak sulung kepada lapan beradik, Nazurah Nabilah Ben Yajeed, 19, meski pun sudah sebulan pemergian kedua ibu bapanya, ingatan dan kerinduan mereka masih kuat.

Jelas penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak itu, kesemua adik-adiknya juga semakin faham mengenai situasi yang berlaku dan mula menerima ketentuan takdir.

“Saya cuba sibukkan diri dengan urusan pelajaran dan menguruskan adik-adik tapi rasa rindu itu datang juga terutamanya selepas selesai menunaikan solat.

“Tugas menjaga adik-adik bukanlah sesuatu yang asing bagi saya kerana sudah terbiasa sejak dahulu lagi. Walau apa pun yang berlaku, saya tetap tekad untuk terus menjaga mereka,” katanya.

Adik beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 menerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Cek Faedah Perkeso di JBukit Beruntung, Rawang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OGOS 2021.

Kata Nazurah Nabilah, ketika ini dia bersama tujuh adiknya yang lain tinggal bersama bapa saudara mereka yang menetap di daerah sama.

Dalam pada itu, Nazurah Nabilah berkata, dia turut berbesar hati dan terharu menerima kunjungan daripada pihak Perkeso yang prihatin dengan nasib mereka.

Media sebelum ini melaporkan lapan beradik menjadi yatim piatu selepas bapa, Ben Yajeed Bernie, 45 dan ibu, Noraini Ibrahim, 43, masing-masing meninggal dunia pada  16 dan 18 Julai lalu selepas disahkan positif Covid-19 pada penghujung bulan Jun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast