Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai awam di sini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah ribuan ringgit daripada kontraktor.

Suspek ditahan atas dakwaan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan peralatan penyelamat bernilai lebih RM190,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 42 tahun itu telah ditahan kira-kira jam 11.45 pagi hari ini di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya semasa hadir memberi keterangan.

Jelasnya, projek tersebut melibatkan pembekalan peralatan menyelamat kepada sebuah agensi pasukan penyelamat.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai memberi keterangan pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.-MalaysiaGazette