Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap kepada seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk apabila gagal menghadirkan diri bagi pertuduhan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Rozilah Salleh setelah pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.

Waran tangkap itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen di sini bagi memastikan kehadiran beliau pada 9 September ini.

Tertuduh juga sepatutnya hadir Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu, namun turut tidak hadir kerana dijangkiti Covid-19 pada 3 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 7 Ogos sebelum dibenarkan keluar pada 11 Ogos lalu.

Beliau turut dimasukkan ke Hospital Prince Court pada 12 Ogos hingga 23 Ogos dan kini sedang menjalani cuti sakit dengan sijil sakit yang dikeluarkan hospital berkenaan.

Terdahulu Hakim Rozilan berkata, waran tangkap telah dikeluarkan mahkamah kerana prosedurnya kini berbeza kerana sudah dibebaskan dari hospital dan pemberian masa selama dua minggu untuk serah diri adalah memadai.

“Tertuduh dikehendaki mengemaskini aplikasi MySejahtera (kerana) sijil sakit tidak mencukupi dan (mahkamah) mahukan status dan laporan kesihatan tertuduh daripada hospital,” katanya.

Terdahulu, Peguambela Putri Aisyah Zahirah Zakrya mewakili peguam utama, Datuk Shaharudin Ali memohon maaf kerana hanya menyerah sijil sakit anak guamnya lewat semalam bagi rujukan mahkamah kerana hanya memperoleh dokumen itu petang semalam.

Putri Aisyah Zahirah turut memohon budi bicara mahkamah kerana anak guamnya sedang menjalani rawatan bagi penyakit kanser kolon yang dihidapinya. – MalaysiaGazette