Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa agar sikap prejudis terhadap pembangkang dihentikan.

Malah bekas Menteri Besar Johor itu berkata, persepsi negatif terhadap kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu ditamatkan.

“Semua adalah rakan penting dalam kesuburan demokrasi dan tatakelola yang lebih baik. Saya berharap agar langkah besar yang dimulakan oleh Perdana Menteri akan disusuli dengan pelbagai tindakan yang lebih terangkum dari kedua-dua pihak.

“Malaysia adalah milik semua. Ia tanah air semua untuk semua dan kita mesti bersepakat deminya. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian mengulas mengenai kenyataan bersama Ismail Sabri dengan tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencapai kata sepakat untuk memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai institusi bertanggungjawab menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif.

Turut hadir dalam pertemuan itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Keempat-empat mereka petang tadi mengadakan mesyuarat di Perdana Putra selama satu jam setengah tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dan usaha untuk mencari jalan terbaik untuk menangani pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, persefahaman dan kenyataan bersama antara Perdana Menteri kesembilan dengan kepemimpinan PH untuk bekerjasama dalam menyelesaikan kemaslahatan negara adalah permulaan era baharu yang sangat positif.

“Persetujuan bersama ini berlaku hanya tiga hari setelah Perdana Menteri menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama rentas parti dan ideologi dalam semangat Keluarga Malaysia.

“Politik Malaysia tidak boleh lagi dalam takuk yang lama. Paradigma baru dalam amalan demokrasi kita mesti harus lebih luwes, terbuka dan progresif,” katanya lagi.

Ismail Sabri pada ucapan awam sulungnya pada Ahad lalu menyeru semua pihak supaya bersepakat menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

Beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa itu sifatnya lebih inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pertemuan pembangkang dan PM cari titik persamaan terbaik demi rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast