KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) sebanyak 4 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021.
ASM 2 Wawasan mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM921.2 juta yang memanfaatkan 897,145 pemegang unit.
ASM 2 Wawasan telah mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM909.6 juta setakat 25 Ogos 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 4.47% dari tahun lalu.
Pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah 215 mata asas mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank dalam tempoh yang sama iaitu 1.85%.
Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana.
Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2021.
Urus niaga di semua pejabat cawangan dan ejen ASNB untuk ASM 2 Wawasan telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 31 Ogos 2021 untuk memudahkan urusan pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB
di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 September 2021. – MalaysiaGazette