Penyerahan bantuan MAFI Prihatin oleh KSU MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid kepada Naib Cancelor, Lt. Jen DatuklHasagaya Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta tiada gangguan dalam kelangsungan bekalan makanan negara serta rantaiannya apabila turut turun padang bagi menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada penduduk yang terjejas oleh pandemik Covid-19 di beberapa lokasi di sini, hari ini.

Penyerahan bantuan MAFI Prihatin disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M.Salleh.

Sumbangan adalah berupa kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, minyak, biskut, bihun, susu pekat, nanas tin dan jem nanas.

“Sumbangan MAFI Prihatin melalui LPNM ini melibatkan penyerahan kotak makanan kepada kumpulan sasar dan barisan hadapan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, balai Polis, pihak universiti serta Persatuan-persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga.

“Melalui program ini sebanyak 1,500 kotak bakul makanan disumbangkan dalam program ini kepada pihak terbabit. Sehingga kini, LPNM telah menyumbangkan lebih daripada tiga
ribu bakul makanan kepada pelbagai kumpulan sasar yang terjejas terutamanya golongan petani, penternak, nelayan dan barisan hadapan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Datuk Haslina Abdul Hamid menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh.

MAFI memberitahu, turut disumbangkan adalah buah nanas sebanyak 2,300 biji sebagai sebahagian daripada promosi Kempen Makan Nanas.

Jelas kementerian, sumbangan itu juga bagi menggalakkan masyarakat untuk makan lebih banyak buah nanas yang dikategorikan sebagai buah yang amat berkhasiat dan juga baik untuk kesihatan.

“MAFI Prihatin merupakan inisiatif Kementerian dalam memahami kepayahan dan keperitan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 selain untuk menghargai penat lelah dan pengorbanan para petugas barisan hadapan seperti pasukan polis, pertahanan awam dan badan kebajikan dalam melaksanakan tugas bagi membantu negara membendung penularan Covid-19,” kata MAFI.

Sementara itu, bermula Jun hingga Ogos ini, seramai 77,289 penerima telah mendapat manfaat dan bantuan MAFI Prihatin yang dilaksanakan di 441 lokasi seluruh negara.

Bantuan MAFI Prihatin itu turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pihak swasta yang turut menyumbang bagi menjayakan program ini.

Program MAFI Prihatin dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan dan Agensi di bawah MAFI dengan sasaran utamanya adalah kepada golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas, selain turut membantu pasukan petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan rakyat yang terkesan disebabkan pandemik serta bencana lain.

Bantuan ini turut meliputi bantuan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.

MAFI melalui Jabatan dan Agensinya memberi jaminan bahawa khidmat penyampaian kerajaan bagi perkhidmatan dalam sektor pertanian dan industri agromakanan, serta rantaiannya tetap berfungsi dengan baik.

Keutamaan perkhidmatan akan terus diberikan dalam membantu menjana ekonomi dan pendapatan golongan sasar khususnya para petani, penternak dan nelayan biarpun negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, selain terus memastikan kelangsungan bekalan makanan negara. – MalaysiaGazette