Foto: Twitter

DAR ES DALAM, Tanzania – Lima orang, termasuk tiga anggota polis, terbunuh ditembak seorang lelaki berhampiran kedutaan Perancis di Tanzania, kata para pegawai.

Pihak berkuasa berkata, lelaki tersebut menghampiri pos polis di jalan yang ditutup ke kedutaan tersebut di Dar es Salaam dan menembak mereka pada jarak dekat.

“Orang ramai perlu kekal tenang ketika polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pelaku dan motifnya.

“Saya meminta orang ramai untuk bekerjasama dengan polis khususnya mereka yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini untuk mempercepatkan siasatan,”  kata Ketua Polis (Operasi), Libertus Sabas kepada The Citizen seperti dipetik UPI.

Sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam insiden tembakan itu dan lelaki tersebut dibunuh di tempat kejadian.

Kawasan tersebut menempatkan beberapa kedutaan, termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis, Jepun, Kenya dan Rusia.

“Warga AS dinasihatkan supaya mengelak kawasan ini,” menurut kedutaan AS dalam akaun twitter.

Motif serangan itu masih belum diumumkan dan pihak berkuasa tidak pasti sama ada ia merupakan serangan pengganas.

Dar es Salam, bandar terbesar Tanzania, tidak mengalami serangan pengganas sejak kedutaan AS dibom pada 1998.

Bandar pelabuhan itu terdedah kepada keganasan daripada kumpulan bersenjata dari negara jiran seperti  Mozambique dan Somalia.

Tanzania terletak di timur Afrika dan bersempadan dengan Kenya, Uganda, Rwanda, Zambia, Malawi dan Mozambique. – Agensi