Wilfred Madius Tangau

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjadi parti politik baharu yang menyertai Pakatan Harapan (PH) hari.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.

UPKO dipimpin oleh Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau.

Saifuddin dalam kenyataan di sini berkata, bagi pihak Majlis Presiden Pakatan Harapan, beliau mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada 105 Ahli Parlimen Pembangkang dari Warisan, Pejuang, UPKO, PBS, Muda dan bebas yang telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri minggu lalu.

”Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, PH akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan Warisan, Pejuang, UPKO, PBS, Muda dan bebas demi memastikan blok Pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

”Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti Pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti,” katanya sambil memaklumkan pintu PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain. – MalaysiaGazette