Mohd Razmi (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada pemandu teksi limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini, hari ini.

BAYAN LEPAS – Kira-kira 300 pemandu teksi limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini terpaksa menukar kerjaya demi kelangsungan hidup masing-masing berikutan tiada pendapatan sejak hampir dua tahun lalu.

Rata-rata mereka terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan, pengawal keselamatan serta pemandu lori selepas operasi LTAPP terjejas sepenuhnya akibat Covid-19 sekali gus menyebabkan mereka tidak mempunyai pelanggan.

Pengerusi Persatuan pemandu Limo dan Teksi LTAPP, Hafizi Ahmad berkata, selain tukar kerjaya ada beberapa ahli persatuannya berdepan dengan situasi kenderaan mereka ditarik balik kerana gagal melunaskan bayaran ansuran bulan.

Hafizi Ahmad.

Jelas Hafizi, sebelum pandemik setiap ahli mampu meraih pendapatan anggaran RM200 sehari namun kini sebulan pun belum tentu ada sesen pun daripada hasil teksi limosin.

“Adakalanya dapat seorang dua penumpang sebulan tetapi dengan keahlian kami 300 orang mesti ada pemandu yang langsung tidak dapat pelanggan pada bulan tertentu.

“Orang tak nampak keperitan yang dialami kami sebagai pemandu teksi limosin. Mujurlah kerajaan umumkan moratorium boleh ringankan beban tetapi ia menyebabkan hutang saya yang sepatutnya selesai tahun ini dipanjangkan tempoh tiga tahun lagi selepas bayaran bualan dikurangkan dari RM1, 200 kepada RM500 sebulan.

“Saya sebagai pengerusi pun kini terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai pengawal keselamatan pada sebelah malam bagi mencari pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mohd Razmi (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada pemandu teksi limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hafizi berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan agensi kerajaan serta orang ramai kepada ahli persatuan namun meminta kerajaan memberi perhatian kepada mereka yang kini terjejas teruk.

“Orang bagi bantuan kami terima dan agihkan kepada ahli yang betul-betul memerlukan tetapi dalam masa sama sampai bila bantuan akan disumbangkan, jadi kami mahu ada satu jalan penyelesai agar isu pendapatan terjejas sepenuhnya ini dapat diselesaikan.

“Kami harap wakil daripada Kementerian Pengangkutan turun padang untuk bersemuka dan berbincang bagi mengatasi masalah yang membelenggu kami kerana ada penyelesaian sekiranya mereka mahu bertemu,” kata Hafizi.

Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Angkatan Pertahanan Awam menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pemandu limosin dan teksi LTAPP.

Sementara itu, Ketua Cawangan Sumber Manusia Ibu Pejabat Perkeso, Mohd Razmi Khalid, sumbangan barangan makanan bernilai RM100 itu merupakan inisiatif agensi berkenaan dalam meringankan beban kumpulan penggiat dalam sektor pelancongan sempena Jelajah Prihatin Jubli Emas Perkeso.

Mohd Razmi.

“Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang disinggah konvoi Perkeso itu selepas menghulurkan 200 bakul makanan kepada pemandu limosin dan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Julai lalu.

“Secara keseluruhan sebanyak 900 bakul makanan akan diagihkan khususnya kepada pemandu limosin, teksi yang mencarum dengan Perseko selain terkesan akibat pandemik Covid-19 ini,” kata Mohd Razmi. – MalaysiaGazette