Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Assalamualaikum. Itu adalah respon Khairy Jamaluddin terhadap satu video tular antara lain memaparkan suara yang menyebut “tak boleh rakam, KJ dah letak jawatan. KKM punya prosedur tak boleh rakam.”

Respon menerusi ciapan di laman Twitter itu dibuat sejam selepas senarai Jemaah Menteri diumumkan di mana Khairy bertukar portfolio dari Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Menteri Kesihatan.

Video tersebut memaparkan seorang lelaki mahu merakam detik-detik dia disuntuk vaksin namun tidak dibenarkan berbuat demikian oleh salah seorang petugas kesihatan di situ.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi video tersebut di media sosialnya.

Bagaimanapun, menurut lelaki tersebut jururawat yang menyuntik vaksin memberi kebenaran untuk dia merakam video tetapi dihalang oleh seorang petugas lain yang turut berada di situ.

Pada 23 Julai, Khairy yang sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) berkata, orang ramai dibenarkan merakam proses vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV).

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut mengarahkan supaya prosedur operasi standard (SOP) diamalkan dengan menunjukkan picagari vaksin yang diisi dengan sempurna kepada penerima.

Pengumuman itu dibuat selepas terdapat aduan dua individu yang mendakwa mereka menerima suntikan kosong.

Individu lain pula mendakwa mereka tidak dibenarkan merakam video atau merakam gambar.

Sementara itu, barisan Kabinet bahru akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin ini di Istana Negara, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast