Pemuda berusia 26 tahun direman dua hari untuk membantu siasatan polis selepas didakwa menendang bapa kandungnya sehingga patah rusuk gara-gara diterus kerana menconteng dinding rumah di PPR Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Gara-gara naik angin dan tidak tahan ditegur kerana menconteng dinding, seorang anak lelaki berusia 26 tahun  bertindak  ganas memukul bapanya sehingga patah rusuk.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima satu laporan itu yang dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun yang merupakan seorang pesara juruteknik Hospital Kuala Lumpur semalam.

“Hasil siasatan polis mendapati kejadian berpunca apabila pengadu menegur anak bongsunya menconteng dinding rumah menggunakan pen marker.

“Gara-gara tidak berpuas hati dengan teguran, anak bongsunya bertindak memarahi dan menendang pengadu dengan menggunakan kaki di bahagian rusuk kanan sehingga mengakibatkan pengadu mengalami sakit di bahagian badan dan leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Basri, pengadu telah pulang ke rumah isterinya di Seremban semalam dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, pakar perubatan mengesahkan pengadu mengalami patah salah satu tulang rusuk kanan.

Ujar Basri, polis akan mendapatkan laporan pemeriksaan awal kesihatan dari pegawai perubatan untuk melengkapkan kertas siasatan.

Bertindak atas laporan pengadu,  sepasukan polis dari IPD Brickfields telah pergi ke rumah pengadu dan menangkap suspek semalam.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek dijalankan dan didapati negatif manakala suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Hasil soal siasat suspek yang merupakan penganggur mengaku telah menendang perut bapanya kerana mahu mempertahankan diri dari terus dipukul,” ujarnya.

Basri menegaskan suspek yang ditahan mendapat  perintah ditahan reman selama selama dua hari sehingga esok dari Mahkamah Majistret di Jalan Duta pagi tadi di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahannya.- MalaysiaGazette