TAWAU – Pelantikan semula dua menteri penuh dari Sabah iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili dan Datuk Seri Ronald Kiandee akan memudahkan rancangan pembangunan untuk negeri itu dilaksanakan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan yang diterajuinya akan sentiasa bekerjasama dengan Maximus yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) khususnya melibatkan hak negeri itu termasuklah berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa antara Kerajaan (IGC).
Dalam masa yang sama, Ronald yang menjadi Menteri Pertanian dan Asas Tani pula katanya akan membantu Sabah mencapai pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang melibatkan pertanian sebagai komponen utama.
Terdahulu, Hajiji menyifatkan Kabinet kerajaan yang diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pasukan yang berorentasikan tindakan yang dilihat mampu menangani cabaran ekonomi dalam waktu pandemik ini.
“Rakyat menyimpan harapan tinggi terhadap semua barisan Kabinet menerusi pasukan ini. Kini kerajaan boleh menumpukan tumpuan terhadap usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail Sabri hari ini ketika mengumumkan barisan Kabinet di bawah kerajaan yang diketuainya turut melantik empat timbalan menteri daripada Sabah.
Mereka adalah Jonathan Yassin (Timbalan Menteri Dalam Negeri II); Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Pendidikan II); Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri Kerja Raya) dan Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan II).
Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada semua barisan Kabinet dan berharap agar kesemua Jemaah Menteri akan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan.-MalaysiaGazette