Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

KUCHING – Datuk Seri Nancy Shukri berjanji untuk mencapai prestasi terbaik dalam tempoh 100 hari selepas dilantik dalam Kabinet seperti ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang dilantik semula ke portfolio Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin mampu meneruskan khidmat terbaik di kementerian yang diterajuinya dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk meneruskan khidmat kepada rakyat sebagai Anggota Jemaah Menteri bagi portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, beliau bersedia untuk mendepani cabaran membantu sektor pelancongan dan kebudayaan dalam waktu sukar sekarang.

“Kepada pasukan kerja MOTAC, mari kita bersama-sama untuk terus maju dan memastikan ia menjadi kenyataan,” katanya. – MalaysiaGazette