SHAH ALAM – Pelantikan Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilihat sebagai tepat pada masa kerana negara memerlukan individu berpengalaman dan berupaya menangani krisis negara.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pengalaman menerajui beberapa kementerian sebelum ini, Noh diyakini mampu membantu rakyat keluar daripada pandemik Covid-19.
“Pelantikan ini memang selayaknya dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19.
“Pengalaman seseorang itu sangat penting, kita memerlukan seseorang yang berpengalaman. Kita tahu kemampuan Tan Sri Noh, seorang yang mempunyai pengalaman luas.
“Beliau pernah jadi menteri suatu masa dahulu,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan bangunan Kumpulan Muara di sini hari ini.
Terdahulu Megat Zulkarnain melepaskan misi bantuan banjir Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke Jerai, Kedah.
Awal pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai ahli Jemaah Kabinet baharu, terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Pengumuman itu dibuat setelah Perdana Menteri mempersembah senarai nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, semalam.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Rizam Ismail pula menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu bersesuaian dengan pengalamannya dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Beliau adalah pemimpin UMNO yang mempunyai pengalaman begitu luas dalam pentadbiran kerajaan.
“Dalam keadaan negara hari ini sedang berperang pandemik Covid-19, Perdana Menteri memerlukan barisan Menteri Kabinet yang berpengalaman dalam mentadbir urus setiap kementerian.
“Saya percaya dengan pelantikan Tan Sri Noh ini saya yakin beliau dapat memikul tanggungjawab di kementerian itu dengan sebaiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette