Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yakin lantikan barisan jemaah menteri baharu mampu membawa Malaysia mendepani pelbagai cabaran akibat pandemik.

Tambahnya lagi, semoga dengan pelantikan ahli Kabinet itu, agenda melawan pandemik bukan sahaja dapat diteruskan dengan idea dan pendekatan baharu bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akhirnya dapat membentuk barisan jemaah menteri yang baharu dalam meneruskan pentadbiran negara.

“Ekoran jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat, jemaah menteri tiada masa untuk berlengah dan harus terus menumpukan sepenuh usaha menangani pandemik.

“Rakyat kini tidak mahu mendengar pemimpin beretorik sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik, pantas dan berkesan.

“Rakyat amat mementingkan hasil dan penilaian dibuat berdasarkan prestasi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jelas Hasni, menerusi penilaian 100 hari, prestasi dan gerak kerja semua Menteri dapat dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya usaha memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara mampu dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya yakin rakyat meletakkan harapan yang besar kepada barisan jemaah menteri yang baharu dilantik untuk membawa Malaysia menjadi negara  yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast