Perdana Putra Muhyiddin Yassin Prime Minister Office announcement
Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tidak jauh beza dengan terdahulu apabila masih ramai muka lama bukan sahaja dikekalkan malah ada yang terus meneraju kementerian yang sama.

Dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri, kebanyakan daripada mereka hanya bertukar portfolio.

Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Antara yang kekal adalah menteri kanan sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kekal dengan portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kementerian Kewangan), Datuk Seri Fadillah Yusof (Kementerian Kerja Raya) serta Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (Kementerian Pendidikan).

Selain itu, nama lain yang masih kekal dengan kementerian yang sama adalah:

  • Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Sabah & Sarawak)
  • Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Ekonomi)
  • Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Kementerian Pengangkutan)
  • Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kementerian Alam Sekitar)
  • Datuk Seri Saravanan (Kementerian Sumber Manusia)
  • Datuk Seri Rina Harun (Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
  • Datuk Dr Noraini Ahmad (Kementerian Pengajian Tinggi
  •  Datuk Seri Hamzah Zainudin (Kementerian Dalam Negeri)
  • Datuk Seri Nancy Shukri (Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan)
  • Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kementerian Perpaduan Negara)
  • Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani)
  • Datuk Alexander Nanta Linggi (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Sembilan menteri yang bertukar portfolio pula adalah:

  • Menteri Kanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien bertukar dari Kementerian Luar Negeri dan kini merupakan Menteri Pertahanan
  • Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertukar dari Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ke Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
  •  Khairy Jamaludin Abu Bakar (Kementerian Kesihatan)
  • Datuk Dr Zuraida Kamaruddin (Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi),
  • Datuk Saifuddin Abdullah (Kementerian Luar Negeri)
  • Tan Sri Annuar Musa (Kementerian Komunikasi dan Multimedia)
  • Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan)
  • Datuk Seri Dr Adham Baba (Kementerian Sains dan Teknologi).

Sementara itu muka baharu yang dilantik pula antaranya Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kementerian Pembangunan Luar Bandar). – MalaysiaGazette