PASIR GUDANG – Cuaca buruk tidak menghalang semangat sebuah keluarga untuk menghias kediaman mereka dengan ratusan bendera Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64.
Suri rumah, Juriah Abdullah, 49, berkata, aktiviti seumpama itu telah dilakukan sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, pada tahun ini, 500 bendera termasuk bersaiz besar dan kecil dikibarkan di sekitar kawasan rumah mereka berbanding 400 sahaja pada tahun lalu.
Katanya, cabaran dihadapi keluarganya pada tahun ini adalah sukar mendapatkan bendera kerana kehabisan stok.
“Kami naik turun beberapa kedai bagi mendapatkan bendera sebelum memulakan aktiviti menghiasi rumah dengan bendera berkenaan.
“Ketika memasang bendera, tidak sangka cuaca berubah termasuk kerap gerimis hingga hujan lebat, namun kami meneruskan aktiviti memasang bendera.
“Dengan bantuan suami, Zahibul Mohamad, dan anak, kami hias rumah dengan bendera dalam lima hari iaitu siap sepenuhnya kelmarin,” katanya yang tinggal di Jalan Serindit 5, Taman Scientex dekat sini.
Juriah berkata, rumahnya kini menjadi tumpuan ramai untuk bergambar kenangan dari luar pagar.
Selain itu, dia juga gembira kerana dapat membakar semangat patriotik dalam kalangan jirannya untuk turut sama mengibarkan bendera.
“Ada jiran yang menyatakan bersemangat mengibar bendera selepas melihat kesungguhan kami dan saya berpendapat mengibar bendera pada tahun ini membawa erti yang tidak ternilai.
“Ia termasuk menunjukkan kesetiaan kita kepada negara walaupun diuji dengan pandemik Covid-19, selain bersepakat memeranginya penyakit berkenaan,” katanya ketika menerima kunjungan daripada Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Haryati Ismail di sini, hari ini.
Haryati berkata, pihaknya juga menyahut solidariti memerangi Covid-19 menerusi penganjuran beberapa program bertemakan semarak mereka.
“Ia termasuk menganjurkan pertandingan rumah, premis yang mengibar bendera, serahan bendera ke rumah ibadat dan pertandingan mewarna kanak-kanak secara maya.
“Orang ramai boleh melayari halaman facebook (fb) JKPZ Scientex1 bagi maklumat lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette