KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pemergian Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang meninggal dunia awal pagi tadi.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

”Allahyarham merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati,” ucap baginda berdua.

Sementara itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara kehilangan seorang seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani.

“Selaku mantan Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam, bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.

“Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja, Allahyarham juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu,  Menteri Kanan Ekonomi (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menzahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji, mantan Ketua Setiausaha Negara. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat negara.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” ucap beliau di Twitter.

Turut mengucapkan takziah, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negara ketika menjawat jawatan Ketua Setiausaha Negara.

“Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

“Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negara. Allahyarham seorang yang banyak berjasa kepada negara khususnya dalam pentadbiran kerajaan,” zahir Mahdzir.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menzahirkan rasa dukacita terhadap pemergian Tun Ahmad Sarji.

Jelasnya, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi fokus kepada kepuasan hati pelanggan dan penambahbaikan kualiti secara berterusan, sekaligus menjadikan perkhidmatan awam negara sebagai antara yang terbaik.

“Secara peribadi, Allahyarham saya kenali sebagai seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas. Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.

“Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang,” ucap Muhyiddin.

Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga tidak ketinggakan mengucapkan takziah atas pemergian Tun Ahmad Sarji.

“Tun Ahmad Sarji meninggal dunia. Takziah diucapkan kpd seluruh keluarga Allahyarham,” ucap beliau di Twitter.

Turut mengucapkan takziah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata Allahyarham merupakan seroang tokoh pentadbir yang amat disegani sewaktu dalam perkhidmatan.

“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat Negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” tulis Mohd Zuki.

Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini jam 1.40 pagi ini.

Unit Perhubungan Korporat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam kenyataan berkata, Allahyarham yang juga pengerusi institut berkenaan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz akibat komplikasi COVID-19 pada 31 Julai lalu.

Ahmad Sarji, 82, adalah Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette