Mohd Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Sabah dan Pahang selama 14 hari bermula Isnin ini hingga 12 September depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata, pelaksanaan itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit.

Semua PKPD itu membabitkan Taman Ketiau, Platinum Apartment, Taman Teluk Villa dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai di Putatan, Sabah.

Di Pahang pula, lokaliti terlibat adalah di Mukim Hulu Cheka, Jerantut iaitu Kampung Batu Balai, Kampung Congo dan Kampung Perlok.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Rodzi berkata, PKPD di Kampung Tuhau, Matunggong, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi berakhir 12 September.

Menurut beliau, PKPD di lapan lokaliti di Sabah pula akan ditamatkan esok mengikut jadual.

“Lokaliti itu membabitkan Kampung Sungai Pukul dan Kampung Muhibbah Raya masing-masing di Tawau; Kampung Paka Kawiyan dan Kampung Matupang, Ranau serta Perumahan Ladang Excellent Challenger 2, Beluran.

“Turut ditamatkan PKPD esok ialah Pekan Donggongon, Penampang membabitkan Blok G, H, K, L, Megalong serta kawasan Perbandaran Dongongan Fasa 2 selain Kampung Sembirai Lebak Engad, Kota Belud.

“PKPD di Pahang iaitu Kampung Orang Asli Terisu, Pos Terisu, Cameron Highlands dan Kampung Seberang Sungai Ular, Mukim Sungai Karang, Kuantan pula ditamatkan awal esok berikutan sepatutnya tamat pada 4 September ini,” katanya. – MalaysiaGazette