KLCC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan unjuran 2021 untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 3.8 peratus.

Dalam laporan Kemas Kini Ekonomi 2021 terkininya, agensi penarafan kredit itu, bagaimanapun, berkata peningkatan kadar vaksinasi di negara ini dijangka memudahkan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi pada suku keempat, memberikan rangsangan yang baik kepada pertumbuhan.

“Bagi 2022, kami menyenaraikan unjuran pertumbuhan antara 7.0 dan 8.0 peratus.

“Walaupun ini sebahagian besarnya dibantu oleh kesan asas yang rendah, pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi dan penggunaan kapasiti ganti dalam negeri secara berperingkat akan meningkatkan pertumbuhan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemulihan permintaan global yang berterusan, terutamanya permintaan yang berlebihan untuk semikonduktor, akan turut meningkatkan prestasi Malaysia pada tahun depan.

RAM Ratings berkata pengeluaran secara keseluruhan pada 2022 dijangka pulih melebihi paras yang dilihat pada 2019, dianggarkan kira-kira 4.8-5.8 peratus lebih tinggi.

“Keadaan ekonomi, bagaimanapun, dijangka tidak normal sepenuhnya sehingga selepas 2022, berikutan impak terhadap ekonomi telah menyebabkan jurang pengeluaran yang negatif dalam jangka pendek.

“Kami menganggarkan ekonomi, secara agregat, akan beroperasi 5.0 peratus di bawah potensi pengeluarannya pada 2022,” katanya.

Agensi penarafan kredit itu berkata kadar vaksinasi kekal sebagai pemacu utama pemulihan domestik, begitu juga pemulihan ekonomi global yang berterusan.

“Eksport masih menyerlah dalam ekonomi Malaysia, dan kami mengunjurkan peningkatan semula yang kukuh (2021: 11.1 peratus; 2022: 4.6 peratus) berikutan kitaran super semikonduktor,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast