Haslina Abdul Hamid melihat sendiri kawasan ladang tanaman yang terkesan akibat bencana alam di Yan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta bagi membaikpulih 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan, yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat fenonema Kepala Air dari Puncak Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut pada Selasa lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, peruntukan berjumlah RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

Manakala RM555,000 pula untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

MAFI dengan kerjasama jabatan dan agensi khususnya MADA, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memulihkan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan yang terjejas.

Beliau yang turun melihat kesan bencana itu menambah, laporan keseluruhan kerosakan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000.

Nilai kerosakan ini meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan pula membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000. – MalaysiaGazette