KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini melancarkan ASN Equity Global, dana pertama yang memfokus kepada ekuiti global.

Ia ditawarkan kepada pelabur mulai 1 September.

Dana ini sesuai untuk pelabur dengan toleransi risiko tinggi kerana menggunakan strategi pelaburan pertumbuhan modal dengan pendedahan yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Fokus pelaburan dengan peruntukan aset hingga 99%, yang mana ia menggunakan strategi pelaburan dalam syarikat berprospek tinggi, serta yang mendapat manfaat menerusi megatrend global.

ASN Equity Global diuruskan oleh pasukan pengurus dana profesional Permodalan Nasional Berhad yang berpusat di Kuala Lumpur dan juga pejabatnya di London bagi meneroka dan merebut peluang pelaburan di lebih daripada 50 pasaran saham global utama.

Pelaburan minimum hanya RM10 dan pelaburan tambahan pula serendah RM1.

Pelabur boleh melanggan ASN Equity Global pada harga tawaran awal RM1 seunit sehingga 21 September 2021 di semua saluran, termasuk portal www.myasnb.com.my dan aplikasi mudah alih myASNB, cawangan dan ejen ASNB di seluruh
negara serta kemudahan perbankan internet ejen ASNB. – MalaysiaGazette