Prof. Dr. Ghazali Omar

KUALA LUMPUR – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dr. Ghazali Omar telah dilantik sebagai menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM berkuatkuasa semalam.

UTeM dalam kenyataan hari ini menyatakan Ghazali memegang jawatan itu bagi menjalankan fungsi dan tugas sementara menerima Naib Canselor UTeM yang baharu.

Bagi tujuan itu maka beliau akan meneruskan legasi kepimpinan memartabatkan UTeM sebagai institusi pengajian tinggi yang terus menempa kejayaan di dalam dan luar negara.

Ghazali menyandang jawatan sementara ini berikutan Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikannya pada 27 Ogos lalu.

Raha sebelum ini merupakan Naib Canselor UTeM yang keempat dan menjadi Naib Canselor wanita yang pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

UTeM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Raha atas dedikasi, khidmat bakti dan sumbangan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM sebelum ini.- MalaysiaGazette