CKAPS Pulau Pinang serbu pusat kecantikan kendalikan perkhidmatan saringan Covid-19 secara haram di Batu Uban hari ini.

GEORGE TOWN – Sebuah pusat kecantikan diarah tutup selepas didapati mengendalikan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 secara haram di Batu Uban di sini, hari ini.

Bertindak atas maklumat dan aduan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) negeri menyerbu premis tersebut kira-kira jam 11 pagi tadi.

Dr Mohamed Iqbal.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan CKAPS Pulau Pinang, Dr. Mohamed Iqbal Hamzah berkata, hasil siasatan awal mendapati pemilik pusat kecantikan itu menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 tanpa pengendalian pihak bertauliah.

Jelas beliau, semakan mendapati premis itu sudah beroperasi sejak dua hari lalu dan kira-kira lebih 100 pelanggan tampil bagi melakukan ujian saringan di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan kita dapati pekerja pusat kecantikan itu sendiri melakukan ujian saringan kepada pelanggan tanpa kehadiran doktor mahupun jururawat.

“Kita tidak menolak kemungkinan harga RM50 yang ditetapkan bagi setiap ujian saringan Covid-19 menjadi punca premisnya dikunjungi ramai pelanggan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi serbuan.

CKAPS Pulau Pinang menjalankan siasatan di lokasi serbuan.

Turut dirampas dalam serbuan itu, sampel pelanggan yang sudah menjalani saringan serta peralatan yang digunakan untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Menurut Dr. Mohamed Iqbal, pusat kecantikan itu diarahkan tutup susulan menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 secara haram.

“Kita sedang jalankan siasatan bagaimana pusat kecantikan ini dibenarkan mengendalikan ujian saringan Covid-19.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika mendapatkan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 lebih murah berbanding harga klinik ekoran bimbang pihak tidak bertanggungjawab cuba memanipulasikan perkhidmatan terbabit,” ujar beliau.

Pelbagai peralatan turut dirampas dalam serbuan tersebut.

Sementara itu, seorang pelanggan yang ingin dikenali sebagai Ahmad Lutfi ketika ditemui berkata, dia hadir untuk membuat ujian saringan susulan ia merupakan syarat untuk dirinya mula kerja di sebuah kilang.

“Saya lihat promosi saringan Covid-19 ini di laman sosial, malah ada beberapa rakan saya sudah datang sini membuat saringan.

“Saya tak tahu mereka ini tidak berdaftar secara sah bila tengok harga murah tu saya datang,” katanya yang datang dari Bayan Baru. – MalaysiaGazette